PROFIL SEKOLAH
Sejarah Sekolah Kebangsaan Methodist (M),
SRK Methodist Pelabuhan Klang merupakan Sekolah Inggeris yang pertama di bawah Methodist Missionary di Pelabuhan Klang (dulu dipanggil Port Swettenham) pada tahun 1950 an dengan satu kelas Darjah I sahaja. Pihak Gereja Methodist boleh dianggap sebagai perintis Pendidikan Inggeris di wilayah Pelabuhan Klang (Port Swettenham) selepas Perang Dunia Kedua.
Namun perubahan populasi bertambah setelah Lembaga Pelajaran Gereja Methodist merasakan adalah satu kewajipan menyediakan pendidikan dan mereka telah membeli tanah membangunkan sekolah demi kepentingan anak-anak Pelabuhan Klang. Dengan kejayaaan mendirikan sekolah serta mampu mempamerkan mutu pendidikan yang drastik dan memberangsangkan, maka sekolah ini telah diperbesarkan supaya
murid-murid tidak perlu lagi berulang-alik dari Pelabuhan Klang ke Klang
(pada masa itu sekolah terdekat ialah di Klang). Berkat sokongan ibu bapa ,
penduduk Pelabuhan Klang dan pihak Jabatan Pelajaran serta Kementerian
Pendidikan, SK Methodist telah berkembang hingga menjadi sebuah sekolah
rendah yang terkenal di bandar Pelabuhan Klang.
SRK Methodist memberi pendidikan kepada anak-anak yang berasal daripada
keluarga diraja hingga keluarga golongan pendapatan rendah sepeti petani,
pemotong getah dan keluarga nelayan. Murid-murid dari semua lapisan
masyarakat, kaum, agama dan bahasa ibunda turut mencari tempat di SRK
Methodist. Memandangkan permohonan masuk ke sekolah begitu pesat,
pihak gereja terpaksa menambah bangunan serta memasukkan murid-
murid perempuan pada tahun 1958. Pada tahun 1963 jumlah bilangan
murid sekolah telah meningkat hingga 1303 orang, menjadikan sekolah
ini sebagai sekolah terbesar di daerah Pelabuhan Klang.
Pendekatan pdp yang digunakan pada masa itu telah dipelbagaikan selaras kepelbagaian etnik yang bersekolah di sekolah ini. Kelas khas Bahasa Melayu telah diwujudkan pada tahun 1958 bagi persediaan pelajar Melayu untuk menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Darjah 6. Menyedari kepentingan kepelbagaian bahasa wujud di sekolah ini, Mr Lum telah memperkenalkan pembelajaran mengikut etnik dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil untuk semua murid (SRK Methodist merupakan sekolah pertama yang mewujudkan sistem pembelajaran mengikut etnik di Klang dan daerah Port Klang.) Selain itu, beliau telah memperkenalkan "Express Class" untuk murid-murid terpilih Tahap I yang boleh lompat kelas dari 3 tahun persekolahan menjadi 2 tahun sahaja.
Dalam bidang ko-kurikulum pula, sekolah ini bergiat aktif dalam sukan seperti bola sepak dan badminton (1960), pingpong (1961), bola jaring (1962) dan bola lisut pada tahun 1963. Sukan Tahunan pertama kali diadakan pada tahun 1960 dan Mr Lum telah menganjurkan Sukan Antara Sekolah Rendah di Port Klang pada tahun 1962. Manakala unit berunifor yang wujud pada masa tersebut ialah "The Wolf Cub Pack" atau sekarang lebih dikenali sebagai Pengakap (ditubuhkan oleh Baden-Powell Scouts Association).
Selaras dengan motto sekolah "Wisdom, Love and Service" atau Kebijaksanaan Kasih Khidmat, SK Methodist (M) Pelabuhan Klang akan meneruskan usahanya untuk memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak di daerah Pelabuhan Klang.
Lagu Sekolah
Bergerak maju sekolahku
Jadi pedoman untuk berkhidmat,
Maju dan megah untuk muhibah
Bersefahaman tekun dan sabar
Bergeraklah maju sekolah
Maju sekolah maju sekolahku
Bergeraklah bergerak maju
Gembiralah gembira selalu..